Sunday, May 23, 2010

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010

Peperiksaan Pertengahan Tahun untuk tingkatan 6 atas telah bermula pada hari Jumaat yang lalu. Selamat maju jaya diucapkan, harap anda semua berjaya dengan cemerlang. Sementara itu, pelajar-pelajar Tingkatan 6 Bawah telah mula sesi pembelajaran. Malangnya, atas sebab-sebab tertentu, bangunan yang indah tersergam masih belum boleh digunakan ... maka kelas-kelas 6 Bawah terpaksa menumpang di bilik-bilik khas seperti makmal fizik, makmal komputer dan bilik simulasi. Diharap guru serta pelajar dapat bersabar dan sama-samalah kita berdoa agar masalah ini diatasi dengan segera.

Data smm

Pelajar-pelajar T6 Bawah diminta melengkapkan borang data smm dengan
kadar segera untuk diproses oleh Puan Zeta. Data ini penting untuk
pemilihan biasiswa. Harap maklum untuk tindakan.

Saturday, May 22, 2010

Kokurikulum - 18 Mei 2010

Pelajar-pelajar T6 Bawah buat pertama kalinya hadir untuk aktiviti kokurikulum. Walau bagaimana pun, kehadiran kurang memuaskan berbanding T6 Atas - diharap keadaan ini tidak berterusan.
Mesyuarat Agung kelab dan persatuan dijalankan serentak. Terdapat beberapa rombakan dan perubahan dimana kelab bola sepak dan bola jaring telah dibubarkan. Sebagai ganti, Kelab Senamrobik telah ditubuhkan disamping kelab bola tampar dan pentanque. Untuk maklumat guru penasihat, sila rujuk senarai yang telah diedarkan.

Friday, May 21, 2010

Gotong Royong Perdana

Gotong-royong Perdana telah diadakan pada 15 Mei yang lalu yang melibatkan pelajar tingkatan 2 dan 6, staf serta semua guru SMKSB. Balai Polis Sg. Besar juga telah memberikan kerjasama dengan kehadiran beberapa anggota polis membantu pembersihan padang sekolah. Walaupun keletihan, semangat gotong-royong dan kerjasama yang diberikan amat membanggakan. Syabas SMKSB!

Thursday, May 20, 2010

Hari Guru 2010


Tahniah diucapkan kepada KEPTEN dan Lembaga Disiplin Pelajar kerana telah berjaya menganjurkan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah pada 17 Mei yang lalu. Acara lebih bermakna dengan kehadiran YDP serta AJK PIBG, wakil PPD serta beberapa orang wakil dari Balai Polis Sg. Besar.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk VIP serta guru-guru ke Dewan Bestari, dengan diiringi paluan kompang dan bunga manggar. Dewan menjadi gamat apabila guru-guru menyanyikan lagu Guru Malaysia dan diikuti dengan bacaan ikrar.
Setelah mendengar beberapa perutusan, majlis diteruskan dengan acara memotong kek dan penyampaian cendera mata kepada tetamu kehormat.
Majlis berhenti rehat di mana guru-guru dijamu dengan nasi minyak dan kek yang disumbangkan oleh Pn. Hajjah Hamidah. Terima kasih... Selain daripada itu, pihak lain yang telah menyumbangkan kek adalah YB Hjh Noriah, YB Dato Seri Mohd. Khir dan juga Bank Rakyat Sg. Besar. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak berkenaan.
Majlis seterusnya merupakan persembahan pelajar dan cabutan nombor bertuah. Acara berlangsung sehingga jam 1 tengahari. Secara keseluruhan, sambutan tahun ini amat memuaskan, syabas buat KEPTEN dan Pengawas!

Tuesday, May 11, 2010

Minggu Orientasi T6Bawah 2010










Selamat datang diucapkan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 6 Bawah yang telah mendaftar pada 10 Mei yang lalu. Dari 10 hingga 14 Mei, mereka akan melalui Minggu Orientasi dimana beberapa sesi taklimat oleh pengurusan sekolah dan ketua-ketua unit akan diadakan. Di samping itu, sesi bengkel bersama Kaunselor juga akan diadakan bagi memastikan pelajar-pelajar ini bersedia untuk mengharungi cabaran yang bakal mendatang. Kemuncak Minggu Orientasi ini adalah persediaan untuk Hari Guru peringkat sekolah yang akan diadakan pada 17 Mei. Guru-guru sudah tak sabar untuk menyaksikan apakah yang akan dipertontonkan oleh pelajar-pelajar ini nanti. Walau bagaimana pun, jangan lupa aktiviti pra Hari Guru, iaitu Gotong-Royong Perdana pada hari Sabtu, 15 Mei 2010.

Hari Kualiti 2010


Hari Kualiti SMK Sungai Besar telah diadakan dengan jayanya pada 8 Mei yang lalu. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar serta panitia cemerlang. Setinggi-tinggi penghargaan ditujukan kepada PPD, IPD dan PIBG kerana sudi hadir memeriahkan lagi majlis ini. Tidak lupa ucapan penghargaan buat AJK Pelaksana majlis sambutan!
Senarai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang 2009 :
1. PMR : Chua Yi Lin
2. SPM : A) Aliran Sains : Lim Kai Xian
B) Aliran Sastera : Chia Su Li
C) Aliran Vokasional : Muhammad Fadli b. Samsuddin
3. STPM : A) Aliran Sains : Lee Shee Yen
B) Aliran Sastera : Li Sin Ee
4. Tokoh Pelajar Lelaki 2009 : Gan Chee Hong
5. Tokoh Pelajar Perempuan 2009 : Nazzatul Aliah Mohd. Zaki

Saturday, May 1, 2010

MUET SPEAKING

Selamat maju jaya diucapkan kepada calon-calon MUET Pertengahan Tahun 2010 kerana ujian Speaking akan bermula pada hari Isnin, 3 Mei 2010. Seramai 75 calon telah mendaftar, manakala selebihnya akan mengambil peperiksaan akhir tahun nanti.