Wednesday, April 28, 2010

Kokurikulum - Sukan / Permainan

Aktiviti kokurikulum pada 27 April melibatkan kelab sukan dan permainan. Pelajar-pelajar nampaknya begitu bersemangat bermain bola jaring, petanque, bola tampar, bola keranjang dan sepak takraw. Tahniah!

Hi Tea Meraikan Juara

Satu majlis 'hi tea' telah diadakan pada petang Isnin, 26 April yang lalu bagi meraikan pencapaian cemerlang dalam PMR, SPM dan STPM 2009. Majlis ini ditaja sepenuhnya oleh PIBG. Tahniah buat wira dan wirawati SMK Sg. Besar dan setinggi-tinggi penghargaan buat guru-guru yang telah menyumbang ke arah kecemerlangan ini. Semoga jasa bakti mereka mendapat ganjaran yang setimpal ... di dunia dan akhirat!

Monday, April 26, 2010

Sekolah Ganti

24 April 2010 merupakan hari persekolahan sebagai ganti cuti Hari Raya Puasa. Kehadiran pelajar memuaskan, kecuali Tingkatan 4.
Pada hari yang sama, tiga peperiksaan awam dijalankan di Dewan Bestari. Di sebelah pagi, peperiksaan bertulis MUET berlangsung sehingga jam 12.30 tengahari. Di sebelah petang, peperiksaan MEDsi dan MOSHI pula dijalankan.

Tuesday, April 13, 2010

Kemasukan Pelajar 6 Bawah 2010

Keputusan pelajar yang layak ke Tingkatan 6 Bawah 2010 akan dapat dicapai melalui laman web Kementerian Pelajaran Malaysia mulai 3 Mei 2010 dan tarikh pendaftaran ke sekolah pusat tingkatan 6 adalah pada 10 Mei 2010.
Alamat laman web KPM : http://www.emoe.gov.my

Biasiswa BKPU

Majlis penyerahan kad biasiswa kepada penerima biasiswa BKPU sesi 2009/2010 telah diadakan pagi ini, 13 April 2010. Terima kasih diucapkan kepada En. Yahya (dari BSN Tg. Karang) dan En. Razak (dari BSN Sg. Besar) kerana sudi hadir dan memberi sedikit taklimat kepada semua penerima biasiswa. Selain menerima kad ATM, pelajar juga dipelawa menjadi ahli Kelab Penabung Muda - banyak faedah yang boleh diperolehi seperti dilindungi insuran berkelompok, seminar, perkhemahan dll. Marilah sama-samalah kita menabung untuk masa depan!

MUET

Peperiksaan Percubaan MUET peringkat sekolah telah diadakan pada 9 April yang lalu. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang hadir dan yang telah bersungguh-sungguh menjawab soalan tersebut. Sekarang ini guru-guru MUET pula sedang bertungkus-lumus menanda skrip jawapan ... sabarlah ye!
Makluman untuk semua calon dan guru, peperiksaan MUET Pertengahan Tahun 2010 (Writing) akan diadakan pada 24 April. Ujian MUET Speaking pula akan bermula pada minggu pertama bulan Mei.

Saturday, April 3, 2010

Public Speaking Competition

Pertandingan Kokurikulum

Minggu pertama penggal ke2 semester 1 agak sebok dengan pertandingan peringkat daerah. Mula-mula pertandingan bola sepak, diikuti bolajaring peringkat daerah (SMKSB mendapat naib johan), seterusnya hoki (naib johan) dan yang terakhir pertandingan catur di mana wakil SMKSB membolot tempat johan dan naib johan bagi kategori bawah 18 tahun. Tahniah diucapkan kepada pemenang dan tidak lupa kepada guru-guru pengiring dan jurulatih.
Di samping kesebokan sekolah menjadi tuanrumah untuk Pertandingan Catur, pertandingan English Week tetap berjalan seperti yang dirancang. Pertandingan ini dijalankan di sebelah petang, bermula dengan Public Speaking pada hari Selasa, Spelling Competition hari Rabu, Scrabble hari Khamis dan Reading Competition hari Jumaat. Sambutan dari para pelajar amat menggalakkan, tidak kira dari tingkatan 3, 4, 5, maupun 6. Tahniah kepada yang menang dan diharap pelajar yang kalah tidak akan berputus asa.

Thursday, April 1, 2010

Pengalaman di negara Kangaroo

Pada cuti yang lalu saya dan keluarga berpeluang menimba pengalaman di sebuah negara barat yang paling hampir dengan Malaysia, iaitu Australia. Lebih tepat lagi, kami bercuti di Perth yang terletak di Barat Australia.
Segala persiapan dan penyelidikan telah dilakukan beberapa bulan sebelumnya ... tempahan tiket, visa, tempahan hotel dan pengangkutan dari lapangan terbang ke hotel. Senarai tempat menarik dan restoran yang menyediakan makanan halal telah didapati dari internet, selain dari individu yang dikenali dalam Trip Advisor. Wang juga telah ditukar kepada dollar dengan kadar 3.1 ( 1 AUD = RM 3.10 ).
Tepat jam 11.50 malam pada 16 Mac 2010, kapalterbang yang kami naiki pun berlepas.
Syukur, kami tiba tepat 6.20 pagi hari Rabu seperti yang dijadualkan. Menurut penyelidikan yang saya lakukan, pemeriksaan kastam dan imegresen australia amat ketat. Semua pelawat tidak dibenarkan membawa masuk barang/makanan yang berasaskan tumbuhan dan haiwan. Untuk memudahkan proses, semua pelawat diminta membuat pengisytiharan tentang barang yang dibawa masuk. Mee segera yang saya bawa dibenarkan dibawa masuk, syukurlah, sekurang-kurangnya dapat juga mengalas perut sekiranya kami tidak dapat mencari restoran yang menjual makanan halal. Seperti yang diatur, seorang pemandu dari Syarikat Pelancongan tiba dan menghantar kami ke Hotel Criterion.
Setelah check-in dan sarapan di hotel, kami pun memulakan aktiviti pada hari pertama. Kali ini kami ditemani oleh 2 orang kawan yang telah tiba di sini beberapa hari sebelumnya, bersama dengan seorang saudara mereka yang menetap di Perth.Mula-mula kami menaiki bas CAT, iaitu pengangkutan awam percuma yang disediakan di dalam bandar sahaja. Sebenarnya ada bas ini mempunyai 3 warna - biru, merah dan kuning. Setiap warna bas mempunyai laluan dan jadual tersendiri. Sesiapa sahaja boleh menaikinya dan sebanyak mana yang mereka perlukan. Selain daripada bas, perkhidmatan keretapi juga disediakan secara percuma tetapi terhad di sekitar bandar sahaja. Untuk keluar bandar, tiket bas harus dibeli di dalam bas itu sendiri. Semua tiket adalah untuk perjalanan pergi dan balik, walau bagaimana pun, dalam tempoh 2 jam sahaja... jika melebihi tempoh, terpaksalah beli tiket yang lain!
Destinasi pertama ialah Swan Bell Tower. Untuk tiba ke sini, kami menaiki feri menyeberangi Swan River. Di Bell Tower, terdapat demonstrasi membunyikan loceng, seperti yang diamalkan di England. Setelah merakam gambar kenangan di sana, kami berjalan kaki pula ke zoo. Oleh kerana bayaran masuk yang agak mahal, (aud 20 = rm62), kami cuma tumpang bergambar sahaja di sana! Setelah itu kami balik semula ke hotel untuk berehat dan makan tengahari manakala teman-teman kami meneruskan aktiviti mereka. Oh ya, lokasi Criterion Hotel ini amat strategik kerana ia berada di pusat bandar, berhampiran pusat membeli-belah dan terdapat 2 buah restoran yang menyediakan makanan halal berhampiran dengannya. Di sebelah hotel ini adalah Oleh-oleh Cafe,yang dimiliki oleh rakyat Indonesia manakala selang beberapa pintu pula terdapat restoran yang menyediakan makanan Arab seperti kebab dll. Sepinggan nasi goreng berharga aud10, bersamaan 30 ringgit! Kebab pula berharga aud 9, atau 27 ringgit ...
Setelah berehat dan menyegarkan badan, kami bersiar-siar di sekitar Hay Street. Di sini, semua kedai tutup jam 5 petang dari hari Isnin hingga Khamis. Pada hari Jumaat dan hujung minggu barulah kedai-kedai dibuka hingga malam.
Pada hari kedua, kami menaiki bas menuju Whiteman Park. Perjalanan mengambil masa lebihkurang setengah jam. Kami melalui pinggir bandar dan kawasan perumahan. Apa yang menarik perhatian saya adalah rumah-rumah di sini tidak dicat dengan warna-warna yang terang seperti di Malaysia. Semua rumah dicat dengan tona warna yang senada, iaitu oren (warna batu-bata). Setelah tiba di Whiteman Park, kami menaiki van untuk tiba ke Caversham Wildlife Park, iaitu sebuah taman haiwan yang dimiliki oleh orang persendirian. Di sini kami berpeluang menyaksikan pertunjukan mencukur bulu biri-biri serta pertunjukan koala. Selain itu, kami juga dibenarkan memberi makan serta menyentuh binatang-binatang di sana seperti kangaroo, koala, biri-biri, arnab, keldai serta llama. Memang berbaloi membayar aud 22 untuk masuk ke taman ini! Pengalaman di sini menyedarkan saya betapa hebatnya ciptaan Allah ... poket khas dicipta untuk kangaroo melindungi bayinya!
Pada hari ketiga kami menaiki keretapi ke bandar Freemantle. Perjalanan mengambil masa setengah jam. Tiada kaunter pembelian tiket disediakan, yang ada hanyalah mesin tiket ... ini bermakna kami harus tahu menggunakan mesin tersebut dan mempunyai tukaran wang yang tepat. Wang tak menjadi masalah, tapi kami tidak cukup maklumat tentang destinasi (tak tahu kedudukan Freemantle di dalam zon apa..)Kami cuba mendapatkan maklumat dari Kaunter Pertanyaan tapi jawapan yang diberikan tak cukup dan kurang tepat...terpaksalah kami bertanya ke sana dan ke sini! Bayangkan sekiranya kita tidak boleh berbahasa Inggeris...mungkin dah kena jual!! Walau bagaimana pun kami selamat sampai dan seronok membeli-belah di Shed Market dan Freemantle Market. Barang-barang lebih murah berbanding di Perth.
Keesokan hari, tepat jam 3.25 pagi, bas yang kami tempah tiba di hotel. Dari segi ketepatan masa, memang saya tabik dengan Mat Saleh ni! Kami tiba di lapangan terbang dan berlepas pada jam 6.30 pagi dan tiba di LCCT Sepang jam 12.30 tengahari. Itulah pengalaman yang dapat saya kongsikan bersama anda ... walaupun sekejap dan tanpa salji, dapat juga mengurangkan rasa rindu saya pada pengalaman tinggal di Amerika selama 3 tahun!